Search This Blog

Translate

Followers

Friday, September 27, 2013

12 JALAN MENUJU PEMULIHAN (TWELVE ROUTES TO RECOVERY) VIII

Langkah Empat
“We made a searching and fearless moral inventory of ourselves.”-NA.
Mendidik tabiat/akhlak diri sendiri dengan melihat kelemahan diri sendiri. Aku perlu melihat kelemahan diri dengan cara membina ukhwah melalui prinsip tafahum.


Tafahum ialah persefahaman sesama kita didalam beramal dan bertindak. Ia membentuk suatu ikatan ukhwah yang kukuh. Tafahum terbentuk apabila sifat ta’aruf disemai dan dipraktikkan. Dengan tafahum, mudahlah untuk kita mendidik  tabiat/akhlak  diri kita serta menyusun semula kekeliruan dan percanggahan dalam kehidupan kita sebelum ini, agar kita mengenali siapa diri kita sebenar. Kita akan mulakan cara hidup baru dan perlu menghilangkan beban perangkap yang mengawal serta menghalang pencapaian kita. Apabila kita mulakan langkah ini, kebanyakan dari kita merasa takut, seolah olah ‘seekor raksasa’ akan dilepaskan untuk memusnahkan kita.
Kebimbangan ini boleh menyebabkan kita berbelah bagi atau mungkin juga menghalang kita daripada mengambil langkah penting ini. Kita dapati bahawa ketakutan ini berpunca dari kurangnya keyakinan, sedangkan tafahum mengajar kita erti ikatan persaudaraan serta persefahaman yang utuh demi membina kekuatan diri melalui keyakinan(iman), kita telah menemuinya!  Kita tidak perlu merasa takut……
Kita renungkan sejenak hadis ini;
Dari Umar ra juga dia berkata : Ketika kami duduk-duduk disisi Rasulullah saw suatu hari tiba-tiba datanglah seorang laki-laki yang mengenakan baju yang sangat putih dan berambut sangat hitam, tidak tampak padanya bekas-bekas perjalanan jauh dan tidak ada seorangpun diantara kami yang mengenalnya. Hingga kemudian dia duduk dihadapan Nabi lalu menempelkan kedua lututnya bertemu lutut Rasulullah saw seraya berkata: “ Ya Muhammad, beritahukan aku tentang Islam ?”, maka bersabdalah Rasulullah saw: “ Islam adalah engkau bersaksi bahwa tidak ada Ilah (Tuhan yang disembah) selain Allah, dan bahwa Nabi Muhammad adalah utusan Allah, engkau mendirikan shalat, menunaikan zakat, puasa Ramadhan dan pergi haji jika mampu “, kemudian dia berkata: “ anda benar “. Kami semua heran, dia yang bertanya dia pula yang  membenarkan. Kemudian dia bertanya lagi: “ Beritahukan aku tentang Iman “. Lalu beliau bersabda: “ Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya dan hari akhir dan engkau beriman kepada takdir yang baik maupun yang buruk “, kemudian dia berkata: “ anda benar“.  Kemudian dia berkata lagi: “ Beritahukan aku tentang ihsan “. Lalu beliau bersabda: “ Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatnya, jika engkau tidak melihatnya maka Dia melihat engkau” . Kemudian dia berkata: “ Beritahukan aku tentang hari kiamat (bila kejadiannya)”. Beliau bersabda:“Yang ditanya tidak lebih tahu dari yang bertanya". Dia berkata: “Beritahukan aku tentang tanda-tandanya“, beliau bersabda:  “Jika seorang hamba melahirkan tuannya dan jika engkau melihat seorang bertelanjang kaki & dada, miskin & penggembala domba,(kemudian) berlumba-lumba meninggikan bangunannya “, kemudian orang itu berlalu dan aku berdiam sebentar. Kemudian beliau (Rasulullah) bertanya: “ Tahukah engkau siapa yang bertanya ?”. aku berkata: “ Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui “. Beliau bersabda: "Dia adalah Jibril yang datang kepada kalian (bermaksud) mengajarkan agama kalian".
Bila kita memperkatakan tentang iman, ia perlulah beserta dengan ihsan. Ihsan adalah “…… engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatnya, jika engkau tidak melihatnya maka Dia melihat engkau…"petikan dari hadis diatas.
Nah! Ianya bersangkutan dengan keyakinan. Apa yang perlu aku lakukan adalah; aku menulis kesemua tabiat burukku. Aku senaraikannya. Kenapa aku menulis? Kerana kita adalah ‘pakar’ dalam penipuan dan merasionalkan perkara yang tidak rasional. Dengan menyenaraikan segala keburukan tabiat sendiri, kita boleh mengatasi tabiat ini. 
Dengan menyenaraikan tabiat tabiat ini, aku dapat mengingati terus dimana adakalanya aku tidak perasan melainkan aku bercakap tentang soal tersebut. Apabila semuanya ditulis, ia lebih mudah untuk dilihat, dan sukar untuk menafikannya. Aku perlu jujur demi sebuah penilaian kepada cara hidup baruku. Kejujuran adalah salah satu kunci kejayaan……..
Realitinya, apabila aku menagih, aku tidak pernah jujur. Tetapi, aku jujur bila aku mengakui bahawa ketagihan ini telah mengatasiku dan aku memerlukan bantuan. Ia mengambil masa yang lama untuk mengakuinya! Aku juga sedar ia tidak akan pulih dari segi fizikal, mental atau rohani dalam sekelip mata sahaja. 
Jangan bimbang, langkah ini akan membantu aku kearah pemulihan. Aku tidaklah seteruk atau sehebat yang disangka. Aku agak terkejut bila mendapati terdapat juga tabiat yang baik dalam diriku ini. Aku yakin tafahum boleh membawa aku ketitik perubahan dalam kehidupanku…….
Jangan sekali kali menganggap langkah keempat ini seolah-olah ia suatu langkah pengakuan betapa buruknya sikap kita. Dalam situasi yang baru bagi kita, bermain dengan emosi sebegini boleh membahayakan diri. Tidak, ini bukanlah tujuannya.
Kita cuba membebaskan hidup kita dari corak lama dan tidak berguna itu. Kita mengambil langkah ini untuk mengembang dan mendapatkan kekuatan yang berwawasan. 
Demi untuk memperolehi keyakinan dan keberanian untuk bertindak, penghijrahan, bertawakal dan ta’aruf amat diperlukan. Dengan ketiga tiga elemen ini beserta senarai tabiat diri, kejujuran dan sikap berlapang dada diadun menjadi satu. Dinasihatkan juga, lakukanlah bersama sama dengan mereka yang telah melalui pengalaman ini atau mentor (sponsor) kita. 
Kita akan merasai kelegaannya bila kita mula memahami konsep langkah tafahum ini. Keistimewaan tentangnya mulai terasa. Kita kehilangan sifat sifat positif (mahmudah) selama ini. Sekarang kita berusaha untuk melepaskan akhlak buruk (mazmumah) ini. Kita hanya perlu ‘meletakkan’ ia diatas kertas, demi membina keupayaan kita sepanjang masa…….
Aku mesti lepaskan masa lampauku, bukan berpaut padanya. Aku dapat melihat masa laluku, apa sebenar-nya berlaku dan melepaskannya supaya aku boleh teruskan hidup ini. Masa laluku umpama ‘jerangkong dalam almari’. Aku amat takut membukanya, aku takut melepaskannya. Aku tidak perlu melihat lagi masa laluku. Kehendak dan kehidupanku kini di tanganNya…...
Selagi kita tidak ‘membuka diri’dan berlapang dada, selagi itulah konsep tafahum secara menyeluruh dan jujur ​​ mustahil untuk dilaksanakan. Ambillah sedikit masa untuk bertenang sebelum menulis dan mohonlah pertolongan serta kekuatan dariNya agar kita telus dan berani menghadapi apa jua rintangan…..
Dalam Langkah ini, aku mula berhubung dengan diriku sendiri. Aku menulis tentang liabilitiku seperti rasa bersalah, cemburu, kebencian, kemarahan, kemurungan, kedekut, ‘ujub, malu, penyesalan, kasihan pada diri sendiri, sombong, riya’, zalim, dendam, kekecewaan, kekeliruan, kesepian, kebimbangan, pengkhianatan, kegagalan, ketakutan, penafian dan banyak lagi sifat sifat mazmumah dalam diriku. Aku menulis tentang perkara-perkara yang menggangguku selama ini. Aku sebenarnya mempunyai kecenderungan untuk berfikir secara negatif, begitu juga kebanyakan dari kita, jadi aku menulisnya di atas kertas untuk memberikan aku peluang untuk melihat lebih positif pada apa yang berlaku. Anda bagaimana…….?
Aset juga perlu dipertimbangkan, untuk mendapatkan gambaran yang tepat dan lengkap perihal diriku sendiri. Jika diteliti, ia sesuatu yang amat sukar dilakukan, umpama ‘masuk bakul angkat sendiri’. Hakikatnya aku masih  mempunyai kualiti yang baik (sifat sifat mahmudah) dan begitu juga dengan kita semua. Ada kalanya aku sendiri pun tidak perasan dengan kualiti ini, seperti penampilan yang bersih, tawakal, taubat, syukur, suka menolong, berfikiran terbuka, rendah diri, kasih sayang, bertimbangrasa, kesedaran, kejujuran dengan orang lain, penerimaan, tindakan positif , perkongsian , kesanggupan, keberanian, keimanan, kebaikan dan kemurahan hati.
Dengan tafahum dapatlah kita mengkaji prestasi masa lalu kita dan tingkah laku sekarang untuk dinilai apa yang hendak disimpan dan apa yang perlu dibuang. Tiada siapa yang akan memaksa kita. Ia tampak sukar, realitinya ia agak mudah.
Lakukanlah tanpa mengambil kira langkah kelima seolah-olah ia tiada. Kita boleh menulis bersendirian atau berhampiran orang lain; terpulang pada keselesaan diri. Kita boleh menulis panjang atau pendek seperti yang diperlukan saja…..
Apa yang penting kita boleh melakukannya!
Tulislah walau apa cara sekali pun. Asalkan kita faham. Kita duduk dengan buku nota, meminta petunjuk, mengambil pena dan mula menulis. Apa yang kita fikirkan itulah bahannya. Kita mulakan langkah ini apabila menyedari betapa sedikitnya kita kehilangan dan berapa banyak perlu untuk mendapatkannya. Satu peraturan asas biarpun sedikit. namun sedikit itu tidak pernah mencukupi. Ia sudah memadai. Kemungkinan ia sukar atau menyakitkan atau ia mungkin kelihatan mustahil. Kita mungkin takut ia akan mencetuskan tindak balas yang negatif. Kita mungkin mengelakkannya kerana takutkan kegagalan. Bila kita mengabaikan perasaan ini, kita mulai rasa tertekan. Ketakutan  pada azab yang akan berlaku adalah sangat besar sehingga ia mengatasi ketakutan kita untuk gagal….
Tafahum menjadi penyelamat, melaluinya dapat mengurangkan ‘tekanan’ daripada kesakitan tanpa melakukannya. Adakalanya kesakitan boleh menjadi faktor motivasi dalam pemulihan. Oleh itu , ia tidak dapat dielak. Setiap topik perjumpaan langkah ini lebih menjurus kepada mendidik tabiat melalui penyenaraian secara tafahum.
Melalui proses tafahum, kita mampu untuk berurusan dengan semua perkara yang membina. Lebih banyak kita mendalaminya, lebih banyak akan timbul isu seumpamanya, seolah olah ditentukan olehNya. Apabila timbul saja isu, kita menulis tentangnya. Kita mula menikmati pemulihan kita, kerana kita mempunyai cara untuk menyelesaikan rasa malu, bersalah atau kebencian….
Hanya dengan sekeping kertas dan sebatang pena, aku mengharapkan bantuan dariNya. Aku mohon agar diberikan aku kekuatan untuk aku harungi semua ini dengan mudah bila aku mendedahkan tabiat burukku yang menyebabkan kesakitan dan penderitaan selama ini. Berdoa  dan berusahalah, pasti membawa kejayaan……
Aku hanya insan biasa. Apa yang penting ialah lakukan yang terbaik dengan menggunakan kaedah yang betul dan aku tingkatkan keupayaanku  untuk terus menghidupkan  emosiku. Aku tidak mahu kehilangannya, aku mahu teruskan. Pengalaman mengajarku tidak kira bagaimana kita mencarinya, ia tiada terkesan melainkan jika aku terus mengikuti Langkah Kelima secara menyeluruh…….

Wednesday, September 25, 2013

12 JALAN MENUJU PEMULIHAN (TWELVE ROUTES TO RECOVERY) VII

Langkah Tiga
“We made a decision to turn our will and our lives over to the care of God as we understood Him.”-NA.
Kami mengambil keputusan untuk menukar keinginan dan kehidupan kami kepada mentaatiNya dan mengikuti segala yang disuruhNya sedaya upaya kami. Aku perlu mempelajari dan mengamalkan suruhanNya serta berlapang dada, saling bantu membantu untuk menghidupkan suasana ta’aruf.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (ta'arofu). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(Al-hujuraat:13)
*Kata li ta’aarafuu dalam ayat ini mengandugi makna bahawa, asal tujuan dari semua ciptaan Allah itu adalah agar kita semua saling mengenal yang satu terhadap yang lain. Sehingga secara umum, ta’aruf  berarti saling mengenal. Dengan bahasa yang jelas ta’aruf adalah supaya sebagian orang untuk mengenali sebagian yang lain.

Sebagai penagih, keseluruhan gaya kehidupanku dikawal oleh dadah. Aku terperangkap dengan keperluan yang didesak oleh ketagihan yang membuak buak. Ketika keadaan itu, seluruh tubuh badan, minda dan semangat dikuasai oleh dadah. Untuk seketika, ia menyeronokkan dan mengasyikkan, kemudian keseronokan itu mula hilang dan kita dapat melihat semula sikap buruk penagih itu. Aku boleh melihat,’lebih tinggi kita dibawa, lebih rendah kita berada’, Aku berhadapan dengan dua pilihan; samada mengalami kesakitan untuk berhenti atau teruskan dengan dadah!


Dari Abu Musa Al Asy’ari ra. dari Nabi Muhammad saw bersabda:
 “Orang mukmin itu bagi mukmin lainnya seperti bangunan, sebagiannya menguatkansebagian yang lain. Kemudian Nabi Muhammad menggabungkan jari-jari tangannya.Ketika itu Nabi Muhammad duduk, tiba-tiba datang seorang lelaki meminta bantuan. Nabi hadapkan wajahnya kepada kami dan bersabda: Tolonglah dia, maka kamu akan mendapatkan pahala. Dan Allah menetapkan lewat lisan Nabi-Nya apa yang dikehendaki.”  Imam Bukhari, Muslim, dan AnNasa’i.


Untuk kita semua, akan tiba harinya kita tiada lagi pilihan; kita terpaksa menggunakan dadah. Setelah menyerahkan seluruh kehendak dan kehidupan kita sebagai penagih, bila keadaan terdesak, kita cuba mencari cara yang lain. Dalam 12 langkah menuju pemulihan, kita mengambil keputusan untuk menukar keinginan dan kehidupan kita kepada mentaatiNya dan mengikuti segala yang disuruhNya sedaya upaya kita. Dengan membuka pintu hati, dari menolak ke menerima. Kita perlu kesanggupan serta berlapang dada untuk menerima semua ini. Antara ahli ahli perlu ada sokongan, saling bantu membantu dan menghidupkan suasana ta’aruf. Ini adalah satu langkah besar . Dengan adanya sifat sifat ta’aruf ini, ia akan memudahkan kita dalam membina suatu kehidupan yang berakhlak dan berilmu sebagaimana sifat sebagai manusia yang sejati.

"Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin lainnya. Apabila melihat aib padanya dia segera memperbaikinya." (HRBukhari)

Konsep ta’aruf ini bertujuan supaya kita saling mengenali dan menghormati antara kita. Memupuk semangat setia kawan atas sifat kecintaan kepada kepulihan kita. Kita semaikan arti persahabatan ini dengan ikatan persaudaraan yang tinggi. Kita letakan asas kepulihan kita dengan mempercayai serta mentaatiNya sedaya upaya kita. Sebagai jalan untuk kita kembali kepadaNya, kita cuba mengamalkan segala amalan amalan terpuji sebagaimana kita mempelajari dan memahaminya. Kerana kita mempunyai hak untuk bersikap jujur dan menyakini atas apa yang kita lakukan demi memupuk kekuatan iman kita.  

Sabda Nabi SAW: "Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan (pada hari akhirat) dari akhlak yang baik”.(HR. Abu Dawud)

Kita perlu lakukannya! Apabila kita berusaha bersungguh sungguh, ia pasti membuahkan hasil sebagaimana pada diriku, begitu juga kepada mereka mereka yang berjaya sebelum  aku. Perlu faham, langkah ketiga tidak mengatakan, " Kita menyerahkan ‘bulat bulat’ penghidupan kita kepadaNya", tetapi, “Kita mengambil keputusan untuk menukar keinginan dan kehidupan kita kepada mentaatiNya dan mengikuti segala yang disuruhNya sedaya upaya kita”. Kita mengambil (membuat) keputusan itu, bererti ia tidak dibuat untuk kita oleh dadah , keluarga, pegawai AADK, hakim atau doktor. Kita yang membuat keputusan itu! Jadikanlah ia suatu keputusan yang betul untuk pertama kali dan jadikanlah ia sebagai keputusan yang terakhir sejak kita menjadi penagih….

Diriwayatkan daripada Anas r.a: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri.”
(al-Bukhari)

Tindakan dibayangi keputusan. Keputusan berdasarkan keimanan dan keyakinan. Kita hanya perlu percaya tiada yang mustahil, jika aku boleh mengapa anda tidak boleh? Kita hanya memerlukan kekuatan dalaman untuk menjadi lebih bertolak ansur , sabar, dan berguna dalam membantu orang lain. Ramai diantara kita berkata, " Tunjukkanlah aku jalan yang lurus, Bimbinglah aku kejalan yang benar, Pancarkan aku dengan cahaya keimanan. Amat melegakan apabila kita dapat “merasai” akan “kehadiran”Nya membantu kita membangunkan kehidupan yang lebih bernilai


.
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.(A-li'Imraan:103)


Menyerah kepada tuhan menjadi lebih mudah dalam amalan harian. Apabila kita jujur​​, ia berfungsi. Ramai di antara kita mulakan hari dengan berdoa memohon perlindungan dan   bimbingan daripadaNya. Walaupun kita tahu bahawa "kesungguhan " ini berhasil, kita masih boleh ‘terkembali’ atas kehendak sendiri. Kita mungkin juga marah padaNya kerana mengizinkan. Pada saat semasa pemulihan kita , keputusan untuk memohon pertolongan dariNya adalah sumber kekuatan dan keberanian yang amat besar buat kita. Kita tidak dapat membuat keputusan ini sekerap mungkin. Kita mohon bersungguh sungguh, dan membiarkan Dia memakbulkannya......
"Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri." (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Pada permulaannya, aku tertanya tanya, " Apa yang akan berlaku selebihnya apabila aku mengubah hidup ini? Apakah aku akan menjadi 'sempurna?". Kemungkinan juga ia lebih realistik daripada yang disangka. Aku terpaksa bertanya pada mereka yang berjaya dan mempunyai pengalaman dalam hal ini, "bagaimana perasaan anda?" Jawapannya akan berbeza. 
Kebanyakan dari kita merasakan dengan berfikiran terbuka, kesediaan dan penyerahan adalah kunci untuk langkah ini. Sifat ta'aruf memainkan peranan dalam langkah ini........... 

Sabda Nabi s.a.w: "Seorang muslim adalah saudara bagi muslim lainnya, tidak menzaliminya, tidak mengecewakannya dan tidak merosak (nama baiknya)."
 (HR. Muslim)

Kami telah menyerah kemahuan dan penghidupan kita kepada penjagaan yang Maha Kuasa lebih daripada diri kita sendiri. Jika kita teliti dan ikhlas, kita akan melihat perubahan yang lebih baik. Kebimbangan kita berkurangan, dan iman mula berkembang seperti yang kita belajar erti sebenar penyerahan. Kita tidak lagi berjuang dengan ketakutan, kemarahan , rasa bersalah, kasihan pd diri sendiri atau kemurungan. Kita sedar bahawa Dia yang membawa kita dan akan terus membimbing kita jika kita benarkan. Kita mulai berkeyakinan dan beransur ansur kehilangan perasaan putus asa kita. Buktinya ditunjukkan dalam cara hidup kita. 
Aku mulai menikmati kehidupan yang bersih dan mahukan lebih daripada apa yang aku nikmati sekarang. Kini aku sedar bahawa aku tidak boleh berhenti setakat ini sahaja, aku mahu dapatkan semuanya yang boleh aku nikmati..... 
 Orang Muslim itu adalah saudara, janganlah kamu menganiayanya, janganlah kamu menghinanya, dan janganlah kamu merosakkannya. (HRMuslim)
Kini aku bersedia dinilai tahap kejujuran aku buat pertama kalinya, persediaan aku untuk memulakan langkah empat (tafahum)...........bersambung
.










Tuesday, September 24, 2013

12 JALAN MENUJU PEMULIHAN (TWELVE ROUTES TO RECOVERY) VI

Langkah Dua 
 “We came to believe that a Power greater than ourselves could restore us to sanity.”-NA
Kami mempercayai/meyakini adanya pertolongan dan petunjuk untuk memberi kami keinsafan. Aku perlu berserah dan tawakal. 

Langkah kedua adalah perlu untuk mencapai pemulihan yang seterusnya. Penghijrahan akan meninggalkan aku untuk mempercayai padaNya yang boleh membantu aku dengan mengembalikan keupayaan aku dalam kehidupan ini. Langkah Pertama (hijrah) yang telah aku lakukan menyebabkan kesan vakum (lopong) dalam kehidupanku. Aku perlu mencari sesuatu untuk mengisi kekosongan itu. Inilah tujuan sebenar Langkah Kedua (tawakal).  
Ramai dikalangan kita memandang enteng dalam langkah kedua ini. Walaupun kita akui bahawa kita perlukan bantuan, tetapi kita tidak mengaku keperluan pada keimanan dan keinsafan. Tanpa mempedulikannya, kita dapati langkah langkah seterusnya akan menemui kegagalan. Aku perlukan pertolongan dariNya. Dengan menyerahkan diriku serta bertawakal padaNya, aku yakin bak kata Imam Ibnul Qayyim dalam kitab Bada-i’ul fawa-id (bab2,halaman 464-465). Berkata beliau,Tawakkal kepada Allah adalah termasuk sebab yang paling kuat untuk melindungi diri seorang hamba dari gangguan, kezhaliman dan permusuhan orang lain yang tidak mampu dihadapinya sendiri. Allah akan memberikan kecukupan kepada orang yang bertawakkal kepada-Nya. Barangsiapa yang telah diberi kecukupan dan dijaga oleh Allah Ta’ala maka tidak ada harapan bagi musuh-musuhnya untuk bisa mencelakakannya. Bahkan dia tidak akan ditimpa kesusahan kecuali sesuatu yang mesti (dirasakan oleh semua makhluk), seperti panas, dingin, lapar dan dahaga. Adapun gangguan yang diinginkan musuhnya maka selamanya tidak akan menimpanya. Maka (jelas sekali) perbedaan antara gangguan yang secara kasat mata menyakitinya, meskipun pada hakikatnya merupakan kebaikan baginya (untuk menghapuskan dosa-dosanya) dan untuk menundukkan nafsunya, dan gangguan (dari musuh-musuhnya) yang dihilangkan darinya

Begitu juga daripada hadis nabi; 
Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:
Seandainya kalian bertawakal pada Allah dengan tawakal yang sebenarnya, maka sungguh Dia akan melimpahkan rezki kepada kalian, sebagaimana Dia melimpahkan rezki kepada burung yang pergi (mencari makan) di pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali sore harinya dalam keadaan kenyang  ( HR Ahmad, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Hakim. dinyatakan shahih oleh, at-Tirmidzi, Ibnu Hibban, al-Hakim dan al-Albani).


Begitulah bagi mereka mereka yang berserah diri pada Tuhan mereka serta bertawakal untuk mencari kerodhoanNya. Ketahuilah! Kita berpenyakit: semakin teruk, tidak boleh diubati dan boleh membawa maut. Mahu tidak mahu kita terpaksa mencari, membeli dan menggunakan dadah  hari demi hari. Biar apa pun alasannya, kita umpama ‘memasukkan’ racun kebadan sedikit demi sedikit sehingga kita menemui maut! Inilah sebahagian dari kegilaan  dunia penagihan. Harga diri serendah nilai seorang pelacur. Kesudahannya penyakit ini terpaksa dibayar dengan nilai nyawa sendiri. Kegilaan ini berulang dengan kesilapan yang sama selain dari mengharapkan hasil yang berbeza .

(Ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit (syak) dalam hatinya berkata: "Orang-orang (Islam) itu telah diperdayakan oleh agama mereka (sehingga mereka berani menentang kami yang lebih besar bilangannya)". Dan (yang sebenarnya) sesiapa yang bertawakal kepada Allah (dengan sepenuh-penuh yakin, maka Allah akan menolongnya untuk mengalahkan musuh yang lebih besar bilangannya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.(al-anfaal;49)

Aku menyedari ada dikalangan rakan rakan telah 'berpatah balik' ketika bersama sama dalam mengusahakan langkah langkah ini. Aku merasa sedih, sebab walaupun kita tahu bahawa kita memusnahkan kehidupan kita sendiri, namun kegilaan inilah juga yang dicari   walaupun mereka tahu menggunakan dadah hari demi hari hanya membawa kemusnahan fizikal, mental, sosial dan emosi.

Kegilaan yang paling jelas dalam penyakit ketagihan ini adalah obsesi untuk menggunakan dadah. Tanya diri kita sendiri, kita percaya ianya tidak siuman untuk bertanya kepada seseorang yang sedang berjalan seorang diri dan berkata , "tolong berikan saya penyakit serangan jantung atau kemalangan maut terhadap saya? "Jika anda bersetuju bahawa ini tidak siuman, anda tidak sepatutnya mempunyai masalah dengan Langkah tawakal ini........

Dalam proses 12 langkah menuju pemulihan ini, perkara yang wajib aku lakukan ialah berhenti menggunakan dadah. Pada ketika ini, aku mula merasakan kesakitan hidup tanpa dadah serta sebarang gantian. Kesakitan inilah yang memaksa aku untuk mencari serta mendapatkan keyakinan bahawa Dialah sahaja yang boleh melegakan obsesi aku untuk menagih semula. Bagaimana hendak mencariNya? Apakah kaedahnya? Inilah antara persoalan persoalan yang timbul bagi kebanyakan penagih. Disebabkan kebanyakan dari kita kurangnya kefahaman dalam hal hal berkaitan, perlulah atas daya usaha sendiri dengan bantuan ahli ahli berbincang akan hal ini.......
Sebenarnya ia amat mudah, bagi aku untuk mula mengenal agama, kenallah dulu siapa kita, untuk mengenali kita, kenallah dulu siapa tuhan kita(ilmu tauhid). Dari itu, apabila kita mulakan langkah tawakal, kita sebenarnya cuba mencariNya.......
Aku mula membangunkan hubungan ini dengan menghadiri kuliah, usrah, taklim serta majlis majlis ilmu. Aku tahu penyakit ketagihan dadah ini adalah satu kuasa pemusnah dalam keseluruhan hidupku. Usaha aku untuk merawatnya menyebabkan kemusnahan yang lebih besar lagi dan penuh kekecewaan. Pada ketika inilah aku menyedari bahawa aku memerlukan bantuan serta pertolongan dari 'kuasa' yang 'maha besar' lagi 'maha kuat' lebih daripada kuasa ketagihanku. Aku meyakini bahawa sesungguhnya hanya padaNya sahaja yang dapat membantuku......... 

Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,
(Asy-Syu'araa' :217) 
Kita bercakap dan mendengar dari rakan rakan. Kita melihat kepulihan mereka dan berkongsi pengalaman. Kita mulai dapat melihat bukti bukti jelas atas kekuasaanNya. Berhadapan dengan bukti ini , kita secara perlahan lahan diserap keyakinan akan kewujudan 'Yang Maha Esa'. Dan kita mulai memahaminya...... 

Apabila wujudnya perasaan serta kecintaan kita pada Tuhan, kita menjadi semakin selesa dan yakin. Penerimaan menjadi kepercayaan, Kepercayaan menjadi penyerahan, Penyerahan menjadi TAWAKAL......kita mulai tidak gentar dengan kehidupan kita. 
Proses ini telah mengembalikan kewarasan kami. Kekuatan untuk bergerak dan bertindak datang dari kepercayaan ini. Kita perlu menerima langkah ini untuk memulakan perjalanan menuju pemulihan. Apabila keyakinan kita mulai  berkembang , kita  bersedia untuk Langkah seterusnya.....






Monday, September 23, 2013

12 JALAN MENUJU PEMULIHAN (TWELVE ROUTES TO RECOVERY) V

Langkah Satu
“We admitted that we were powerless over our addiction, that our lives had become unmanageable.”-NA
“Kami akui kami tiada daya upaya melawan pengaruh dadah sehingga hidup kami menjadi sengsara “. Aku perlu lakukan langkah pertama iaitu hijrah.
                           
majlis tahlil dan bacaan Yasiin sempena pelancaran kedai dobi 'Laundry Shiqal Maju' 2011
Tidak kira jenis atau berapa banyak dadah yang digunakan, kepulihan adalah keutamaan. Aku tidak boleh mengambil dadah untuk hidup. Apabila aku akui ketidakupayaan untuk menguruskan kehidupan sendiri, maka aku telah mula membuka pintu pemulihan. Tiada siapa yang dapat meyakinkan aku bahawa aku adalah penagih . Pengakuan ikhlas perlu hadir dalam diriku. “Tanpa sebarang keraguan”, Mustahil bagi untuk mengawal pengambilannya. Yang pasti,   aku tidak terdaya mengawalnya biar dalam apa jua keadaan sekali pun.
Ketiadaupayaan bermakna aku menagih bukan atas kehendak diri. Soalnya sekarang jika aku tidak boleh berhenti , bagaimana aku boleh menyatakan bahawa aku yang mengawalnya? Gagal untuk berhenti walaupun dengan kesungguhan dan tekad yang tinggi, membuatkan aku berkata “aku tiada pilihan”. Sebenarnya masih ada pilihan, terima hakikat yang sebenarnya! Aku telah sampai ketahap di mana aku tidak lagi boleh menanggung penderitaan fizikal, mental, dan kerohanian. Aku tidak mengharapkan kasih sayang, kejujuran, berfikiran terbuka atau kerelaan. Apabila aku tewas, aku merelakannya.
Ketidakupayaan untuk mengawal penggunaan dadah adalah satu gejala penyakit ketagihan . Bukan sahaja dadah, malahan sikap ketagihanku pun tidak terkawal. Ketagihan adalah penyakit fizikal, mental dan rohani yang memberi kesan setiap aspek kehidupanku. Aku perlu mengakui hakikat ini demi untuk kepulihanku.

  1. Kekerapan menggunakan dadah: ketidakupayaan untuk berhenti adalah penyakit fizikal.
  2. Obsesi atau keinginan yang keterlaluan untuk mendapatkan dadah, walaupun memusnahkan kehidupan sendiri adalah penyakit mental.  
  3. Penyakit rohani pula terlampau mementingkan diri sendiri. Aku merasakan bahawa aku boleh berhenti bila-bila masa yang aku mahu , walaupun terbukti ia adalah mustahil. Penafian , penggantian , rasionalisasi , justifikasi , tidak percaya orang lain , rasa bersalah, malu, kelalaian , kemusnahan , pengasingan , dan kehilangan kawalan berpunca dari penyakit ini.
Ia sangat progresif, tidak boleh diubati dan boleh membawa maut . Patutkah aku merasa lega bila mengetahui ia berpunca dari penyakit ketagihan dan bukannya kekurangan moral?
Aku tidak bertanggungjawab pada penyakitku, tetapi aku bertanggungjawab untuk pemulihanku. Kebanyakan kita cuba untuk berhenti menagih secara bersendirian, tetapi kita tidak dapat hidup dengan atau tanpa dadah. Akhirnya kita sedar bahawa kita tidak berkuasa di atas penagihan kita itu. Aku cuba untuk berhenti menggunakan kaedah sendiri. Tindakan ini adalah penyelesaian sementara sahaja. Kita lihat bahawa cara ini tempohnya tidak lama. Aku  cuba pula kaedah lain; dadah gantian, psikiatri, hospital, pusat pemulihan, berpacaran, berpindah dan mencari pekerjaan baru. Semua yang aku cuba, gagal. Aku mula melihat bahawa aku cuba rasionalkan tindakan karut ini hanya untuk meredakan keadaan huru-hara dalam kehidupanku.

       
                           
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 218)

Kewajarannya adalah HIJRAH… Aku tidak mahu  melepaskan peluang ini, tidak kira apa jenis pun, asas pemulihanku dalam bahaya. Peluang ini akan berakhir sekiranya aku tidak mengambil manfaat dari program yang aku amalkan ini.
                                  

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (an-nisaa’; 97)

 Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). (an-nisaa’; 98)

                                                              
Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. (an-nisaa’; 99)

Terperangkap dalam situasi ini, aku pasrah.  Bagi aku yang mampu untuk berhijrah tetapi tidak mampu mengamalkannya secara sempurna serta melaksanakan hukum-hakam Islam yang dituntut darinya, maka hukum berhijrah ke atasku adalah wajib, sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat hijrah Surah an-Nisa’ ayat 97-99 di atas. Kalimat ikhbar (berita) dalam ayat ini bermakna perintah, iaitu merupakan sighah al-talab (bentuk tuntutan), seakan-akan Allah berfirman, hajiru fiha (berhijrahlah padanya). Tuntutan dalam ayat ini disertai dengan ta’kid (penekanan) dan disertai juga dengan ancaman yang besar jika meninggalkan hijrah sehingga ia menjadi thalab jazm (tuntutan yang tegas). Ini menunjukkan bahawa hijrah dalam keadaan ini hukumnya fardhu ke atas kaum Muslimin, dan berdosa apabila tidak berhijrah.
 Kemudian, dan hanya kemudian, kita semua boleh dibantu untuk pulih daripada penyakit ketagihan .

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT”. (al-Bukhari)

Persoalannya sekarang ialah: "Jika kita lemah , bagaimana boleh program ini membantu?" Kita mulakan dengan meminta bantuan. Asas program kita adalah pengakuan bahawa diri kita tidak lagi dapat menguasai tabiat ketagihan kita. Apabila kita boleh menerima hakikat ini, maka bermulalah bahagian pertama penghijrahan kita.
Jangan undur, teruskan keperingkat kedua. Berlapang dada dan jangan kita memanipulasi asas kebenaran langkah ini.
Pemikiran kita berdolak dalih, “Ya, aku tidak berkuasa ke atas ketagihanku," dan dimasa yang sama, "aku dah tak gian, aku boleh control…”, Pemikiran dan tindakan sedemikian inilah yang akan membawa kita kembali aktif pada penagihan semula. Pernahkah kita bertanya, " Jika aku tidak boleh mengawal ketagihanku, bagaimana aku nak mengawal kehidupanku? "

Sebelum langkah penghijrahan ini, aku terasa ‘kosong’ tanpa dadah, dan kehidupan aku semacam tidak terurus.
Ketidakmampuan untuk bekerja, kelalaian dan kemusnahan ialah ciri-ciri kehidupan yang tidak terurus. Ahli keluarga secara amnya kecewa, bingung dan keliru dengan tindakan aku dan sering mereka mengabaikan atau tidak mengendahkan aku. Dan tidak semestinya mempunyai pekerjaan, diterima masyarakat dan masih diterima oleh keluarga bukan bermakna kehidupan mereka terjamin dan terkawal. Penerimaan dalam sosial tidak boleh dijadikan sebagai sandaran pada pemulihan kita.
Salah satu sifat hijrah adalah menukar sepenuhnya cara pemikiran lamaku sekiranya tidak mahu kembali ke penagihan. Apabila aku memberi yang terbaik, ia berfungsi untuk aku kerana ia telah berjaya untuk orang lain. Apabila aku tidak lagi mempertahankan cara lamaku, aku mula berubah. Dari saat itu, aku mula melihat bahawa setiap hari tanpa dadah adalah hari yang berjaya, tidak kira apa yang berlaku. Hijrah bererti Menjauhi sesuatu dengan sangat keras karena adanya ketidak setujuaan dan kebencian.Untuk menjauhinya perlu keluar dan menyerah. Penyerahan bermakna tidak perlu untuk melawan lagi. Aku menerima ketagihan dan kehidupanku ini seadanya. Aku lebih bersedia untuk melakukan apa sahaja untuk kekal bersih , walaupun kepada perkara yang aku tidak suka lakukan.
Ketika aku mengusahakan langkah  hijrah ini, aku dipenuhi dengan rasa takut dan ragu-ragu. Aku tenggelam punca dan keliru. Aku rasa cukup berbeza. Sehinggalah aku benar benar yakin dan secara jujurnya mengesahkan penyerahan aku kepada prinsip penghijrahan ini. Hanya selepas itu aku dapat mengatasi keterasingan hidup sebagai penagih. Bantuan kepada penagihan bermula hanya apabila aku mengaku kalah secara total. Ini amat menakutkan , tetapi ia menjadi asas di mana aku membina kembali kehidupanku.
Langkah Pertama dalam penghijrahan ini bermakna aku tidak perlukan dadah, dan ini adalah satu kebebasan yang besar. Ia mengambil masa bagi sesetengah daripada kita menyedari bahawa kehidupan kita telah menjadi tidak terurus. Bagi aku, ketidakupayaan mengurus hidup adalah sesuatu yang jelas. Aku tahu dalam hatiku ini bahawa dadah mempunyai kuasa untuk mengubah kita kepada seseorang yang kita sendiri tidak kenali.
Sentiasa bersih dan usahakan langkah ini, aku dibebaskan dari rantai yang membelengguku. Walau bagaimanapun, usaha ini bukan sesuatu yang mudah. Ia tidak berlaku dengan hanya berkata kata sahaja, aku perlu belajar untuk menghidupkannya. Aku melihat bahawa mengamalkan ‘12 Langkah Menuju Pemulihan’ mempunyai sesuatu untuk ditawarkan kepadaku.  
Aku menemui harapan. Aku boleh belajar untuk berfungsi dalam dunia di mana kita hidup. Aku boleh mencari makna dan tujuan dalam hidup dan diselamatkan dari kegilaan, kebejatan dan kematian.


Apabila aku mengakui ketiadaan dan ketidakupayaan untuk menguruskan kehidupan aku sendiri , bermakna aku membuka ruang untukNya membantu kita. Di mana kita berada tidak penting, tetapi di mana kita akan pergi. Ia adalah satu penghijrahan…….

Sunday, September 22, 2013

12 JALAN MENUJU PEMULIHAN (TWELVE ROUTES TO RECOVERY) IV

BAB 4
Bagaimana Ia Berfungsi

Ini adalah 12 langkah yang ditawarkan oleh NA, bagi sesiapa yang berusaha untuk mendapatkannya, maka anda perlu mengambil langkah-langkah ini. Ia merupakan prinsip-prinsip pemulihan yang akan menjadi nyata;

  1. We admitted that we were powerless over our addiction, that our lives had become unmanageable.
  2. We came to believe that a Power greater than ourselves could restore us to sanity.
  3. We made a decision to turn our will and our lives over to the care of God as we understood Him.
  4. We made a searching and fearless moral inventory of ourselves.
  5. We admitted to God, to ourselves, and to another human being the exact nature of our wrongs.
  6. We were entirely ready to have God remove all thes defects of character.
  7. We humbly asked Him to remove our shortcomings.
  8. We made a list of all persons we had harmed, and became willing to make amends to them all.
  9. We made direct amends to such people wherever possible, except when to do so would injure them or others.
  10. We continued to take personal inventory and when we were wrong promptly admitted it.
  11. We sought through prayer and meditation to improve our conscious contact with God as we understood Him, praying only for knowledge of His will for us and the power to carry that out.
  12. Having had a spiritual awakening as a result of these steps, we tried to carry this message to addicts, and to practice these principles in all our affairs.

Dan ini pula 12 langkah menuju pemulihan yang aku amalkan;

  1. Kami akui kami tiada daya upaya melawan pengaruh dadah sehingga hidup kami menjadi sengsara. Aku perlu lakukan langkah pertama iaitu hijrah.
  2. Kami meyakini adanya pertolongan dan petunjuk untuk memberi kami keinsafan. Aku perlu berserah padaNya dan bertawakal.
  3. Kami mengambil keputusan untuk menukar keinginan dan kehidupan kami kepada mentaatiNya dan mengikuti segala yang disuruhNya sedaya upaya kami. Aku perlu bantuan dari mereka yang berjaya ‘pulih’ dengan sikap saling mengenali atas prinsip ta’aruf.
  4. Mendidik tabiat/akhlak diri sendiri dengan melihat kelemahan diri sendiri. Aku perlu melihat kelemahan diri dengan cara membina ukhwah melalui prinsip tafahum.
  5. BersaksikanNya, diri sendiri dan juga kepada insan lain; kesemua kesalahan yang kami lakukan. Aku perlu mengukuhkan kembali perpaduan sesama insan dengan berpegang pada prinsip takaful.
  6. Kami bersedia untuk melihat dan mengubah akhlak buruk kami dengan izinNya. Aku sanggup menerima perubahan ini dan bermuhasabah.
  7. Dengan rendah diri kami memohon padaNya agar kuatkan iman serta jauhkan kami dari sifat sifat buruk. Aku perlu sentiasa merendah diri dengan mengamalkan sifat sifat tawaduk.
  8. Menyenaraikan semua orang yang telah kami ganggu dan susahkan, bersedia untuk memperbetulkan perhubungan kami dengan mereka. Aku perlu berpegang pada prinsip berdisiplin serta kerjasama dengan mengamalkan sifat ta’awun.  
  9. Memohon kemaafan dan menebus kesalahan secara langsung pada mereka  yang telah kami lakukan kesalahan, melainkan pada situasi yang boleh menimbulkan lagi permasalahan. Aku perlu berani memohon kemaafan samada kepadaNya ataupun kepada sesiapa sahaja yakni taubat.
  10. Kami akan terus melihat kesalahan diri sendiri dan apabila kami bersalah, kami akan mengaku kesalahan kami. Aku perlu pasrah dan sedia menerima apa jua kesannya, perlu redho.
  11. Merapat diri kepadaNya dengan bermuhasabah diri, bertujuan untuk mencari kekuatan diri dalam melakukan ibadah. Aku perlu ada kesedaran dan kesungguhan demi menjaga kepulihan aku, iaitu iltizam.
  12. Kami cuba untuk membawa pesanan ini kepada ‘sahabat sahabat’ lain dan mempratikkan prnsip-prinsip ini didalam semua aspek kehidupan kami. Aku perlu memberi perkhidmatan dan usaha dakwah  sebagai prinsip langkah terakhirku iaitu tarbiah.
12 tetap 12, namun pendekatan aku lebih berunsur islamik. Seperti yang pernah aku katakan sebelum ini, budaya serta amalan kita diMalaysia amat jauh berbeza dengan budaya negara dimana NA(narcotics anonoymous) dilahirkan. Cara penyampaian serta penerimaan 'mereka' lebih terbuka. Kita pula penuh dengan adap dan sopan santun serta budaya "biar pecah diperut, jangan pecah dimulut", "malu tak bertempat" dan banyak lagi telah membuatkan kita merasai cukup sukar untuk ber'sharing'.Perjumpaan perjumpaan seperti ini bukanlah menjadi 'trend' dalam budaya kita. Akan tetapi bukanlah menjadi satu persoalan dimana ia akan berjaya ataupun tidak. Soalnya sekarang adakah masyarakat kita boleh menerima ini sebagai satu kaedah dalam rawatan & pemulihan dadah ? Masyarakat kita lazimnya masih percaya bahawa penagihan dadah boleh dirawat dengan kaedah 'bomoh?' yang mengaku menggunakan kaedah islam? 
Jika hanya dengan mengaku bahawa dengan 'muntah', tangkap 'jin-iblis', 'pembenci' dan diiringi dengan doa doa tertentu, apakah seseorang penagih dadah itu boleh sembuh....? Maka, kerajaan sendiri yang akan mengupah mereka mereka ini sebagai jalan penyelesaian dalam isu penyalahgunaan dadah yang kini mencecah angka ratusan ribu penagih yang baru dan lama.

Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir.(At-Taubah;125)

Kaedah Islam yang lebih dinamik adalah kita masukkan unsur unsur usrah, usaha atas iman serta dakwah & tarbiah sebagai senjata dalam pemulihan seseorang penagih itu. Apabila kita memahami soal akhlak adalah salah satu cabang iman, maka sudah tentu pemulihan dadah perlulah ditekankan soal akhlak serta tabiat. 
Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.(Al-Hajj:46)
Banyak lagi ayat ayat AlQuran serta hadis hadis yang menyentuh soal akhlak ini. Jawapan kepada 12 langkah menuju pemulihan adalah soal bersatu hati dalam sebuah jemaah yang mempunyai satu tujuan, satu arah dan satu matlamat. Ia seperti suatu perintah yang besar, dan kita tidak boleh melakukannya sekali gus. Kita tidak menjadi penagih dalam satu hari, jadi, lakukan seadanya. Terdapat lebih dari satu perkara yang akan mengalahkan kita dalam pemulihan kita , ini adalah sikap acuh tak acuh atau sikap tidak bertoleransi terhadap prinsip-prinsip keimanan.  Tiga daripada yang diperlukan adalah kejujuran, berfikiran terbuka dan kerelaan . Dengan ini, semuanya akan berjalan lancar. Kita merasakan pendekatan ini adalah benar-benar ‘realistik’ nilai terapeutiknya dalam membantu seseorang penagih tanpa sempadan. Ia lebih praktikal , penagih dapat memahami dan membantu penagih lain dengan lebih baik. Kita percaya lebih cepat kita selesaikan masalah kita dengan masyarakat, dalam kehidupan harian, lebih cepat kita diterima kembali dan menjadi lebih bertanggungjawab dan produktif. Usaha atas akhlak adalah satu bentuk pemulihan yang pragmatik Oleh itu satu pendekatan yang lebih efisien yang harus dilakukan adalah penghijrahan.....

Satu-satunya cara untuk menjaga daripada kembali menjadi penagih adalah dengan mengelak dari mengambil dadah yang pertama. Bagi kita, satu terlalu banyak dan seribu tidak pernah cukup. Kita letakkan penekanan perkara ini sebagai sesuatu yang cukup besar, kerana kita tahu apabila kita mula menggunakan dadah dalam apa jua bentuk, atau menggantikan dalam bentuk yang lain, kita telah ‘lepaskan’ sifat  ketagihan kita sekali lagi.
Pemikiran seperti arak dan seumpamanya sebagai berbeza daripada dadah telah menyebabkan banyak penagih berulang. Sebelum ini kita melihat ia secara berasingan, jangan terkeliru tentang perkara ini. Arak dan bahan bahan gantian adalah dadah. Kita adalah insan yang berpenyakit ketagihan semestinya menahan diri daripada apa jua bentuk dadah untuk mendapatkan kepulihan.

Ini adalah antara soalan-soalan yang perlu aku tanyakan pada diri sendiri;
Adakah aku  pasti untuk berhenti menagih? Adakah aku faham bahawa aku tiada upaya mengawalnya? Adakah aku sedar lama kelamaan dadah telah menggunakan aku? Adakah penjara dan pusat mengambil alih dalam pengurusan kehidupanku dalam waktu waktu yang berbeza? Adakah aku menerima sepenuhnya hakikat bahawa setiap usaha  untuk berhenti menemui kegagalan? Adakah aku sedar ketagihan dadah telah mengubah aku kepada seorang yang aku sendiri tidak mahu:
Penipu, tidak jujur, suka melawan,keras kepala dengan kekawan malahan dengan diri sendiri? Adakah aku percaya sebagai penagih dadah aku benar-benar telah gagal?
Bila aku menagih, realiti begitu sukar dan pedih dan payah untuk aku lupakan. Aku cuba rahsiakan dari pengetahuan orang lain. Aku mengasingkan diri, didalam ‘penjara kesepian’ yang dibina oleh aku sendiri. Aku kini terdesak, aku berusaha membantu diri ku sendiri melalui program ini. Fizikal, mental, dan rohani ku hancur luluh sebelum ini. Aku telah lama dalam kesakitan, aku sanggup menghadapi kemana-mana asalkan untuk kekal bersih.

Satu-satunya harapan kita adalah dengan mencontohi mereka yang berjaya menghadapi dilema ini dan telah menemui jalan keluar. Tidak kira siapa kita, dari mana kita datang, atau apa yang pernah kita lakukan, kita tetap punya hak dalam program ini. Penagihan kita memberikan kita alasan yang sama untuk memahami satu sama lain.
Sebagai hasil daripada menghadiri beberapa perjumpaan, kita mula terasa seperti dihargai. Di dalam perjumpaan perjumpaan inilah nanti kita diperkenalkan kepada 12 langkah menuju pemulihan. Kita mempelajarinya sebagaimana tertulis dan mengamalkannya setiap hari. Ia adalah penyelesaian kita. Ia juga sebagai panduan untuk kelangsungan hidup kita. Ia adalah pertahanan kita terhadap ketagihan yang merupakan penyakit berbahaya. Ia merupakan prinsip-prinsip yang akan membantu pemulihan kita….bersambung 

Saturday, September 21, 2013

12 JALAN MENUJU PEMULIHAN (TWELVE ROUTES TO RECOVERY) III

BAB 3
Mengapa Aku berada disini? 
Sebelum mengikuti program ini, kita tiada daya menguruskan kehidupan sendiri. Kita tidak mampu menikmati kehidupan seperti orang lain. Kita perlukan sesuatu yang berbeza, kita rasa kita telah menemuinya  dalam alam penagihan dadah. Kita letakkan ‘dadah’ melebihi dari segalanya. Melebihi dari kebajikan keluarga, isteri, suami, dan anak-anak kita. Kita mendatangkan kemudaratan yang besar dalam masyarakat, tanpa sedar kita menganiayai diri kita sendiri. Dalam menghadapi ketidakupayaan untuk menerima tanggungjawab secara peribadi, kita sebenarnya mewujudkan masalah dalam diri sendiri. Kita seolah-olah tidak mampu menghadapi kehidupan dari segenap aspek. Kebanyakan dari kita sedar bahawa penagihan secara perlahan-lahan membunuh kita, tetapi penagihan juga umpama musuh yang sangat licik dalam hidup kita sehingga tiada upaya untuk melakukan apa-apa. Kebanyakan dari kita berakhir di penjara, atau meminta bantuan melalui perubatan, agama dan psikiatri. Tiada satu pun daripada kaedah tersebut bersesuaian dengan kita. Penyakit kita akan muncul semula atau menjadi lebih teruk sehingga dalam keadaan terdesak, kita meminta bantuan daripada satu sama lain melalui kaedah program ini.
Selepas mengikuti program ini, barulah kita sedar kita sebenarnya sedang sakit. Kita mengalami penyakit yang tiada penawar setakat hari ini. Bagaimanapun, ia boleh  ‘dihumban’ dalam suatu noktah, maka pemulihan bukan lagi sesuatu yang mustahil.....
ketika memberi ceramah motivasi di
SRK Bt. Kurau

Selepas bebas dari penjara 2007,Aku mulai mencari pemulihan. Aku jadualkan segala aktiviti harian ku. Waktu solat, kemas rumah, bersihkan halaman, waktu menonton TV dan sebagainya. Aku cuba penuhkan aktiviti harian ku. Aku ingin mengubah cara hidupku. Inilah langkah pertama ku dengan membuat satu *PENGHIJRAHAN. Aku sedar selama ini aku menggunakan dadah untuk ‘menampung’ perasaanku, dan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mendapatkan dadah. Celik mata saja terus ‘gian’,sakit, tidak dapat bekerja atau pergi bekerja dengan sempurna.
Aku akan mencuri untuk dapatkan dadah. Aku sakiti orang-orang yang aku sayangi. Aku lakukan semua perkara ini dan masih percayakan “Aku okey lagi….”. Hakikatnya aku tidak dapat mencari jalan keluar. Aku kelemasan menghadapi tuntutan kehidupan ini….., adakah kita serupa?
*Konsep ini akan dihuraikan dalam bab yang lain.
Aku terkenang ketika permulaan mengambil dadah. Menyeronokkan walaupun adakalanya aku akan termuntah ketika hisap. Perasaan ‘syok’ dan pening bercampur baur. Aku rasakan aku sudah cukup dewasa dan bagaikan watak hero dalam filem filem Holywood. Lama kelamaan ia menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi keperluan. Tanpa aku sedari penagihan aku ini berkembang menjadi penyakit. Aku terus dijalan kemusnahan, tanpa menyedari kemana aku dibawa pergi. Aku menjadi seorang penagih tanpa aku sedari. Melalui dadah, aku cuba mengelak dari realiti, kesakitan dan kesengsaraan. Apabila kesannya hilang, aku sedar bahawa ia hanya bersifat sementara, malahan menjadi semakin teruk. Apa yang boleh aku lakukan ialah menagih, menagih dan terus menagih…..

Kita cuba mencari bantuan and hampa. Kerap kali ‘mereka’ tidak memahami dilema kita. Seolah olah hanya dengan bantuan ubat ubatan sudah memandai. Kerap kali ahli ahli keluarga akan keletihan membantu kita dengan harapan semoga kita akan pulih dan semakin sembuh. Kita cuba ‘menggantikan’ jenis dadah yang berbeza tetapi jawapannya tetap sama. Kami cuba hadkan penggunaan hanya untuk bersosial saja namun berakhir tanpa kejayaan. Tidak ada istilah ‘guna untuk bersosial’ dalam hal penagihan ini. Sesetengah daripada kita mencari jawapan melalui agama atau kumpulan kumpulan agama serta ada yang berpindah. Kita menyalahkan persekitaran dan keadaan hidup sebagai punca masalah kita. Usaha untuk berpindah kononnya dapat mengubati penyakit kita sebenarnya membuka peluang untuk kita mengambil kesempatan daripada kenalan baru nanti. Yang lebih nekad ada yang cuba dapatkan teman baru atau perubahan kepada rakan-rakan baru. Sikap ini adakalanya membawa kita lebih jauh kedalam ketagihan kita. Ada yang cuba dengan perkahwinan, perceraian atau pembelotan. Tidak kira apa yang kita cuba, kita tidak dapat lari daripada penyakit kita.
kami mempunyai masalah yg sama

Aku telah sampai kesuatu titik kehidupan di mana aku kehilangan punca. Aku tiada nilai kepada keluarga, rakan-rakan atau di tempat kerja. Walaupun pernah bekerja sebagai penjawat awam dalam kementerian kesihatan (5 tahun) akhirnya aku menganggur.  Selepas dari itu banyak tempat aku bekerja tetapi tidak lama. Sebarang bentuk kejayaan ataupun pekerjaan tidak biasa buat aku dan ini amat menakutkan. Aku tenggelam punca. Perasaan bencikan diri sendiri makin meningkat, jumlah dos aku semakin bertambah, perasaan makin celaru. Penat dengan kesakitan dan kesusahan ini! Aku cuba lari dari semua ini. Aku ke Kelantan, ke KL dan kemana mana saja kononnya untuk mulakan hidup baru. Tidak kira sejauh mana aku berlari, aku sentiasa dihantui oleh perasaan takut. Aku rasakan bagai hilang harapan dan tidak berguna. Kegagalan menjadi cara hidup aku dan tiada lagi harga diri. Perasaan yang mungkin paling menyakitkan buat aku bilamana keadaan menjadi sangat terdesak.
Pengasingan dan penafian inilah yang membuatkan kehidupan kita semakin menurun….. Hilang sudah segala harapan.
Tiada daya upaya, kekosongan dan dihantui perasaan takut menjadi gaya hidupku. Aku benar benar gagal! Perubahan personaliti adalah apa yang aku perlukan. Akhlak serta tabiat burukku perlu diubah. Berbohong, menipu atau mencuri, meletakkan diri aku dipandang hina oleh mataku sendiri. Cukuplah kemusnahan yang aku lakukan pada diriku sendiri. Aku telah mengalaminya. Apabila sampai ketahap ini, aku merasai tibanya masa untuk meminta pertolongan……..
Aku mencari jawapan apabila aku berjaya ‘keluar’. Aku hadir keperjumpaan pertamaku ini dalam keadaan binggung dan tertanya tanya apa perlu aku buat. Selepas duduk dalam perjumpaan, atau beberapa pertemuan, aku mulai merasakan ‘mereka’ amat prihatin dan bersedia untuk membantu. Walaupun aku berfikiran amat sukar untuk pulih namun ‘mereka’ memberi aku harapan dan mendesak sesungguhnya aku boleh PULIH. Aku  mendapati bahawa tidak kira apa yang aku fikirkan pada masa lalu atau tindakan yang lepas, yang lain pun turut merasai dan melakukan perkara yang sama. Dikelilingi oleh penagih lain, aku sedar bahawa aku tidak bersendirian lagi. Pemulihan berlaku dalam perjumpaan ini….
Aku mempertaruhkan kehidupanku. Aku mendapati dengan meletakkan pemulihan kendiri sebagai tujuan utama, program ini pasti berhasil. Aku berhadapan dengan kewujudan tiga prinsip yang  membimbangkan:
  1. Kita tiada upaya mengatasi penagihan kita dan kehidupan kita tidak terurus;
  2. Kita tidak bertanggungjawab untuk penyakit kita, tetapi kita bertanggungjawab dalam pemulihan kita;
  3. Kita tidak boleh lagi menyalahkan orang, tempat dan benda untuk ketagihan kita. Kita mesti berhadapan dengan masalah dan perasaan kita sendiri.

Senjata utama pemulihan adalah dari penagih yang pulih. Kita hanya  menumpukan perhatian kepada pemulihan dan perasaan kita sahaja bukan masa lampau. Kawan ‘lama’, tempat dan idea idea lalu sering menjadi ancaman kepada pemulihan kita. Kita perlu mengubah rakan sepermainan, tempat permainan dan barangan mainan kita.
Apabila kita mendapati agak sukar menguruskan hidup tanpa dadah, sebahagian daripada kita akan mula mengalami kemurungan, kebimbangan, cepat marah dan kebencian. Terasa sedikit kekecewaan, halangan dan kesepian sering membuatkan kita cepat putus asa. Kita sedar kita mengalami sejenis penyakit, bukan soal moral. Kita dalam dilema.  Kita tenat, tidaklah seburuk yang disangka. Penyakit kita hanya boleh dihalang melalui kepantangan.

Selepas aku 'absent' dari tugasku di Hospital Besar Pulau Pinang, aku balik ke kampung halaman (1993) Aku menjadi tidak keruan. Aku tidak dapat menerima kenyataan, dulunya aku seorang pegawai kerajaan tetapi kini semuanya gelap gelita. Aku mengalami pelbagai perasaan. Perasaan ini telah lama meresap dalam sanubariku.Keadaan aku semakin teruk.Perasaan ini berligar ligar dalam benakku hampir 14 tahun lamanya!  Adakala aku berasa gembira atau tertekan. Akhirnya mulai berubah! Perasaan negatif aku telah bertukar menjadi positif apabila aku mulai mengambil berat tentang rakan pemulihan aku.
Jawapan telah tersedia, masalah akan selesai. Inilah ganjaran besar apabila aku berperasaan sebagai manusia kembali. Satu perubahan besar buat diri aku!

1995                                                  1992



Itulah cara keberkesanannya program ini. Program ini meyakinkan kita bahawa kita perlu mengubah diri kita sendiri, dan bukannya cuba mengubah orang lain dan keadaan di sekeliling kita. Kita menemui peluang baru. Kita merasai diri kita dihargai.  Kita belajar menghormati diri. Ini adalah suatu bentuk pembelajaran. Melalui program ini, kita sedar adanya Dia yang  Maha Pemurah lagi Maha Pengampun. Penghijrahan membawa kepada pemulihan. Kita menjadi lebih yakin. Kita menuju kebebasan……