Search This Blog

Translate

Followers

Saturday, September 21, 2013

12 JALAN MENUJU PEMULIHAN (TWELVE ROUTES TO RECOVERY) III

BAB 3
Mengapa Aku berada disini? 
Sebelum mengikuti program ini, kita tiada daya menguruskan kehidupan sendiri. Kita tidak mampu menikmati kehidupan seperti orang lain. Kita perlukan sesuatu yang berbeza, kita rasa kita telah menemuinya  dalam alam penagihan dadah. Kita letakkan ‘dadah’ melebihi dari segalanya. Melebihi dari kebajikan keluarga, isteri, suami, dan anak-anak kita. Kita mendatangkan kemudaratan yang besar dalam masyarakat, tanpa sedar kita menganiayai diri kita sendiri. Dalam menghadapi ketidakupayaan untuk menerima tanggungjawab secara peribadi, kita sebenarnya mewujudkan masalah dalam diri sendiri. Kita seolah-olah tidak mampu menghadapi kehidupan dari segenap aspek. Kebanyakan dari kita sedar bahawa penagihan secara perlahan-lahan membunuh kita, tetapi penagihan juga umpama musuh yang sangat licik dalam hidup kita sehingga tiada upaya untuk melakukan apa-apa. Kebanyakan dari kita berakhir di penjara, atau meminta bantuan melalui perubatan, agama dan psikiatri. Tiada satu pun daripada kaedah tersebut bersesuaian dengan kita. Penyakit kita akan muncul semula atau menjadi lebih teruk sehingga dalam keadaan terdesak, kita meminta bantuan daripada satu sama lain melalui kaedah program ini.
Selepas mengikuti program ini, barulah kita sedar kita sebenarnya sedang sakit. Kita mengalami penyakit yang tiada penawar setakat hari ini. Bagaimanapun, ia boleh  ‘dihumban’ dalam suatu noktah, maka pemulihan bukan lagi sesuatu yang mustahil.....
ketika memberi ceramah motivasi di
SRK Bt. Kurau

Selepas bebas dari penjara 2007,Aku mulai mencari pemulihan. Aku jadualkan segala aktiviti harian ku. Waktu solat, kemas rumah, bersihkan halaman, waktu menonton TV dan sebagainya. Aku cuba penuhkan aktiviti harian ku. Aku ingin mengubah cara hidupku. Inilah langkah pertama ku dengan membuat satu *PENGHIJRAHAN. Aku sedar selama ini aku menggunakan dadah untuk ‘menampung’ perasaanku, dan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mendapatkan dadah. Celik mata saja terus ‘gian’,sakit, tidak dapat bekerja atau pergi bekerja dengan sempurna.
Aku akan mencuri untuk dapatkan dadah. Aku sakiti orang-orang yang aku sayangi. Aku lakukan semua perkara ini dan masih percayakan “Aku okey lagi….”. Hakikatnya aku tidak dapat mencari jalan keluar. Aku kelemasan menghadapi tuntutan kehidupan ini….., adakah kita serupa?
*Konsep ini akan dihuraikan dalam bab yang lain.
Aku terkenang ketika permulaan mengambil dadah. Menyeronokkan walaupun adakalanya aku akan termuntah ketika hisap. Perasaan ‘syok’ dan pening bercampur baur. Aku rasakan aku sudah cukup dewasa dan bagaikan watak hero dalam filem filem Holywood. Lama kelamaan ia menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi keperluan. Tanpa aku sedari penagihan aku ini berkembang menjadi penyakit. Aku terus dijalan kemusnahan, tanpa menyedari kemana aku dibawa pergi. Aku menjadi seorang penagih tanpa aku sedari. Melalui dadah, aku cuba mengelak dari realiti, kesakitan dan kesengsaraan. Apabila kesannya hilang, aku sedar bahawa ia hanya bersifat sementara, malahan menjadi semakin teruk. Apa yang boleh aku lakukan ialah menagih, menagih dan terus menagih…..

Kita cuba mencari bantuan and hampa. Kerap kali ‘mereka’ tidak memahami dilema kita. Seolah olah hanya dengan bantuan ubat ubatan sudah memandai. Kerap kali ahli ahli keluarga akan keletihan membantu kita dengan harapan semoga kita akan pulih dan semakin sembuh. Kita cuba ‘menggantikan’ jenis dadah yang berbeza tetapi jawapannya tetap sama. Kami cuba hadkan penggunaan hanya untuk bersosial saja namun berakhir tanpa kejayaan. Tidak ada istilah ‘guna untuk bersosial’ dalam hal penagihan ini. Sesetengah daripada kita mencari jawapan melalui agama atau kumpulan kumpulan agama serta ada yang berpindah. Kita menyalahkan persekitaran dan keadaan hidup sebagai punca masalah kita. Usaha untuk berpindah kononnya dapat mengubati penyakit kita sebenarnya membuka peluang untuk kita mengambil kesempatan daripada kenalan baru nanti. Yang lebih nekad ada yang cuba dapatkan teman baru atau perubahan kepada rakan-rakan baru. Sikap ini adakalanya membawa kita lebih jauh kedalam ketagihan kita. Ada yang cuba dengan perkahwinan, perceraian atau pembelotan. Tidak kira apa yang kita cuba, kita tidak dapat lari daripada penyakit kita.
kami mempunyai masalah yg sama

Aku telah sampai kesuatu titik kehidupan di mana aku kehilangan punca. Aku tiada nilai kepada keluarga, rakan-rakan atau di tempat kerja. Walaupun pernah bekerja sebagai penjawat awam dalam kementerian kesihatan (5 tahun) akhirnya aku menganggur.  Selepas dari itu banyak tempat aku bekerja tetapi tidak lama. Sebarang bentuk kejayaan ataupun pekerjaan tidak biasa buat aku dan ini amat menakutkan. Aku tenggelam punca. Perasaan bencikan diri sendiri makin meningkat, jumlah dos aku semakin bertambah, perasaan makin celaru. Penat dengan kesakitan dan kesusahan ini! Aku cuba lari dari semua ini. Aku ke Kelantan, ke KL dan kemana mana saja kononnya untuk mulakan hidup baru. Tidak kira sejauh mana aku berlari, aku sentiasa dihantui oleh perasaan takut. Aku rasakan bagai hilang harapan dan tidak berguna. Kegagalan menjadi cara hidup aku dan tiada lagi harga diri. Perasaan yang mungkin paling menyakitkan buat aku bilamana keadaan menjadi sangat terdesak.
Pengasingan dan penafian inilah yang membuatkan kehidupan kita semakin menurun….. Hilang sudah segala harapan.
Tiada daya upaya, kekosongan dan dihantui perasaan takut menjadi gaya hidupku. Aku benar benar gagal! Perubahan personaliti adalah apa yang aku perlukan. Akhlak serta tabiat burukku perlu diubah. Berbohong, menipu atau mencuri, meletakkan diri aku dipandang hina oleh mataku sendiri. Cukuplah kemusnahan yang aku lakukan pada diriku sendiri. Aku telah mengalaminya. Apabila sampai ketahap ini, aku merasai tibanya masa untuk meminta pertolongan……..
Aku mencari jawapan apabila aku berjaya ‘keluar’. Aku hadir keperjumpaan pertamaku ini dalam keadaan binggung dan tertanya tanya apa perlu aku buat. Selepas duduk dalam perjumpaan, atau beberapa pertemuan, aku mulai merasakan ‘mereka’ amat prihatin dan bersedia untuk membantu. Walaupun aku berfikiran amat sukar untuk pulih namun ‘mereka’ memberi aku harapan dan mendesak sesungguhnya aku boleh PULIH. Aku  mendapati bahawa tidak kira apa yang aku fikirkan pada masa lalu atau tindakan yang lepas, yang lain pun turut merasai dan melakukan perkara yang sama. Dikelilingi oleh penagih lain, aku sedar bahawa aku tidak bersendirian lagi. Pemulihan berlaku dalam perjumpaan ini….
Aku mempertaruhkan kehidupanku. Aku mendapati dengan meletakkan pemulihan kendiri sebagai tujuan utama, program ini pasti berhasil. Aku berhadapan dengan kewujudan tiga prinsip yang  membimbangkan:
  1. Kita tiada upaya mengatasi penagihan kita dan kehidupan kita tidak terurus;
  2. Kita tidak bertanggungjawab untuk penyakit kita, tetapi kita bertanggungjawab dalam pemulihan kita;
  3. Kita tidak boleh lagi menyalahkan orang, tempat dan benda untuk ketagihan kita. Kita mesti berhadapan dengan masalah dan perasaan kita sendiri.

Senjata utama pemulihan adalah dari penagih yang pulih. Kita hanya  menumpukan perhatian kepada pemulihan dan perasaan kita sahaja bukan masa lampau. Kawan ‘lama’, tempat dan idea idea lalu sering menjadi ancaman kepada pemulihan kita. Kita perlu mengubah rakan sepermainan, tempat permainan dan barangan mainan kita.
Apabila kita mendapati agak sukar menguruskan hidup tanpa dadah, sebahagian daripada kita akan mula mengalami kemurungan, kebimbangan, cepat marah dan kebencian. Terasa sedikit kekecewaan, halangan dan kesepian sering membuatkan kita cepat putus asa. Kita sedar kita mengalami sejenis penyakit, bukan soal moral. Kita dalam dilema.  Kita tenat, tidaklah seburuk yang disangka. Penyakit kita hanya boleh dihalang melalui kepantangan.

Selepas aku 'absent' dari tugasku di Hospital Besar Pulau Pinang, aku balik ke kampung halaman (1993) Aku menjadi tidak keruan. Aku tidak dapat menerima kenyataan, dulunya aku seorang pegawai kerajaan tetapi kini semuanya gelap gelita. Aku mengalami pelbagai perasaan. Perasaan ini telah lama meresap dalam sanubariku.Keadaan aku semakin teruk.Perasaan ini berligar ligar dalam benakku hampir 14 tahun lamanya!  Adakala aku berasa gembira atau tertekan. Akhirnya mulai berubah! Perasaan negatif aku telah bertukar menjadi positif apabila aku mulai mengambil berat tentang rakan pemulihan aku.
Jawapan telah tersedia, masalah akan selesai. Inilah ganjaran besar apabila aku berperasaan sebagai manusia kembali. Satu perubahan besar buat diri aku!

1995                                                  1992



Itulah cara keberkesanannya program ini. Program ini meyakinkan kita bahawa kita perlu mengubah diri kita sendiri, dan bukannya cuba mengubah orang lain dan keadaan di sekeliling kita. Kita menemui peluang baru. Kita merasai diri kita dihargai.  Kita belajar menghormati diri. Ini adalah suatu bentuk pembelajaran. Melalui program ini, kita sedar adanya Dia yang  Maha Pemurah lagi Maha Pengampun. Penghijrahan membawa kepada pemulihan. Kita menjadi lebih yakin. Kita menuju kebebasan…… 



1 comment:

rakan pemulihan anda said...

sebarang pandangan dan pendapat amat dihargai.