Search This Blog

Translate

Followers

Wednesday, September 18, 2013

12 JALAN MENUJU PEMULIHAN (TWELVE ROUTES TO RECOVERY) I

MUKADIMAH 
dari kanan benoy, tina, aku, bisham. ijan belum lahir lagi.

Catitan ini adalah sebuah perjalanan hidup aku dari seorang penagih dadah kepada seorang usahawan (from junkies to entrepreneur). Belum pun boleh digelar sebagai usahawan berjaya namun dalam skop pemulihan sebagai seorang penagih, aku kira aku telah berjaya hingga ke tahap duabelas.
Mungkin ada dikalangan mereka yang diluar sana menganggap aku 'syok sendiri', tetapi catitan ini aku lakarkan hanya semata mata sebagai renungan dan iktibar demi kebaikan bersama. Biar ia menjadi pedoman serta pembakar semangat kepada sahabat sahabat yang ingin keluar dari 'daerah' desa penagihan yang penuh dengan kesengsaraan. 
Aku masih lagi teringatkan arwah bapa yang tidak pernah berputus asa hanya untuk melihat aku 'pulih' sahaja. Sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir (2003) aku masih lagi seorang penagih! Andaikata beliau masih hidup, aku rasa beliaulah yang paling bangga dengan pencapaian aku ini. Penat jerih beliau beberapa kali jamin aku keluar lokap, hantar pergi berubat beratus kali tak pernah arwah berputus asa dengan karenah aku...., sabarnya cukup tinggi......alfatihah buat arwah
Keluarga aku, mama, benoy, bisham, tina dan ijan agak agaknyalah cukup letih dengan masalah dadah yang aku timbulkan.
Isteriku serta anak anak, terima kasih kerana masih sayangkan suami dan ayah mereka ini.
Catitan ini selain dari aku pelajari dari nota nota NA(Narcotics Anonymous) aku adunkan dengan kaedah islam agar ia lebih mudah dan menepati citarasa budaya kita diMalaysia tanpa mengira agama dan bangsa.Kemudian aku olahkan ia menjadi sebuah catitan peribadi dimana intipatinya banyak persamaan dengan apa yang aku lalui demi menjaga kepulihan aku.  
Sebelum aku catitkan perjalanan aku menuju pemulihan, izinkan dulu aku mukadimahkan satu soalan...., SIAPAKAH PENAGIH DADAH INI ?  

BAB 1
Siapakah Penagih Dadah? 
keluargaku  
Perlukah aku berfikir dua kali untuk menjawab soalan ini sebab AKU TAHU! keseluruhan hidup dan pemikiran aku (ketika menagih) berpusat pada dadah sahaja. Bagaimana untuk dapatkan, gunakan dan mencari jalan untuk dapatkannya dengan lebih banyak lagi. Hidup hanya untuk menggunakan dan digunakan. Ringkasnya, seluruh kehidupanku dikawal oleh dadah. Aku adalah manusia yang dicengkam penyakit secara berterusan serta proaktif dimana penghujungnya adalah; penjara, institusi(pusat) dan kematian……
. 
Aku tidak perlu fikir panjang, sebab jawapannya adalah melalui pengalaman sendiri.                 Sebagai penagih, aku adalah golongan yang banyak menimbulkan masalah. Ketagihan dadah adalah suatu penyakit yang bukan hanya melibatkan penggunaan dadah sahaja. Aku yakin bahawa penyakit ini telah lama wujud dalam diri aku sebelum menjadi penagih lagi.                 Aku beranggapan ketagihan dadah boleh dikawal, ia sebenarnya tidak benar. Pemikiran seperti “bila bila masa pun boleh berhenti…” menyebabkan aku memandang remeh dalam soal ini. Aku hanya melihat dari sudut ‘berhenti’ saja, tanpa menyentuh soal kepenggunaannya. Oleh sebab itu, apabila kepenggunaan dadah itu semakin bertambah, soal untuk ‘berhenti’ pun hilang. Dan apabila ketagihan semakin memuncak, aku tertanya tanya, "adakah ini semua disebabkan dadah…."?                                                                                           Aku tidak memilih menjadi seorang penagih. Aku sebenarnya mengidap penyakit kecenderungan kearah ‘anti-sosial’. Ia sukar dikesan melalui ‘diagnosis’ dan rawatannya bukan mudah. Ketika itu aku berumur 13 tahun dan aku mengambil heroin secara 'chase the dragon'.
Lama kelamaan aku sedar, sikap ‘anti sosial’ inilah yang  menyebabkan aku terputus hubungan dengan dunia luar dan memencilkan diri, kecuali dalam hal hal tertentu.  Sesuatu yang asing buat aku, aku tolak. Dunia aku mengecil dan kehidupan aku jadi terasing. Aku terus gunakan dadah untuk hidup. Itulah satu-satunya cara hidup yang aku pilih. 
Amat sukar bagi aku untuk menerima hakikat bahawa aku seorang penagih. Aku akan berkata, "aku boleh mengatasinya". Anggapan beginilah yang membuatkan aku mulai berjinak jinak dalam   senario jenayah jalanan, kekerasan, mencuri kecil kecilan.  
Apabila ketagihan dianggap sebagai jenayah atau tidak bermoral, aku memberontak dan menjadi lebih terasing. Aku ‘syok’ dengan ‘stim’, tetapi sebenarnya ia mencerminkan kegagalan aku dalam hidup ini. Aku terperangkap dalam cengkaman penyakit ini. Aku terpaksa hidup dengan apa cara sekali pun. Aku cuba mengawal keadaan dengan memanipulasi, menipu serta mencuri. Aku terpaksa mencari dadah walau apa cara sekali pun. Kegagalan dan keresahan mula menyerang kehidupan aku. Keadaan ini berlaku selepas SPM (18 tahun)

Salah satu aspek penagih dadah adalah ketidakupayaan untuk memenuhi syarat keperluan hidup. Kita akan menggunakan berbagai bagai bentuk dadah semata mata untuk menghadapi dunia yang seolah-olah musuh kita. Kita bermimpikan keajaiban untuk menyelesaikan masalah kita, yakni diri kita sendiri. Hakikatnya kita tidak akan berjaya hanya dengan menggunakan dadah, ganja, arak dsb. Berhenti menagih sahajalah yang akan membuat kita berasa selesa dan yakin.

Ketika ini aku mulai mencuba berbagai bagai jenis dadah, pil serta arak (ganja, 'roche', mahaguru dll)
Ada ketikanya, aku cuba mempertahankan kewajaran kononnya 'hebat' bila menagih, Aku bangga dengan sikap pelik aku yang begitu jelas sebagai penagih serta ada kalanya menyalahi adab. Aku "lupa" sejenak semasa aku dalam kegianan minta simpati. Rupa rupanya aku  telah mencorak daya pemikiran selektif ( mengingati perkara yang "syok" sahaja). Untuk menjaga emosi dari kecelaruan, aku terpaksa merasionalkan kewajaran tindakan aku. Aku sering kali mengabaikan pengalaman hidup yang menjadi mimpi ngeri dengan mengelak dari realiti kehidupan sendiri !
Dadah menyebabkan tahap fungsi mental dan emosi aku seperti keperihatinan dan kasih sayang semakin merosot. Jadilah aku seumpama seekor haiwan (kenyataan ini seolah-olah melampau)!, tetapi ramai diantara kita berada pada tahap ini. Punah sudah semangat aku.....
 Aku seolah olah sentiasa mencari "jawapan", dari orang, tempat atau benda yang akan memberi sebuah kepastian. Aku hilang segala keupayaan untuk menjalani kehidupan normal. Aku terperangkap dalam alam penagihan ini. Mungkinkah keluar masuk pusat atau penjara akan menjadi lumrah buat aku????.
Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak betul dalam kehidupan aku. Adakalanya aku ingin mengambil jalan mudah untuk mengakhiri semua penderitaan ini. Perbuatan ini tidak membantu, malahan menambahkan lagi penderitaan. Setiap kali aku meminta bantuan, aku hanya ingin menghilangkan kesakitan gian aku sahaja.
Setiap kali menjalani rawatan, kesihatan fizikal kita akan bertambah baik, melainkan bila kita mula terlibat kembali. Rekod menunjukkan amat mustahil bagi kita untuk menggunakan dadah tanpa masalah. Walaupun kita cuba mengawalnya, akhirnya kecundang juga.

Ketagihan dadah boleh dikenakan tindakan undang undang (sek.6). Tiada apa yang hendak dimalukan, selagi secara jujur  kita menerimanya
dan mengambil tindakan yang positif. Kita harus sedar bahawa kita amat sensitif dengan dadah. Rasionalnya  memang tidak logik untuk kita kembali menagih. Dari pengalaman, kita sedar pengubatan tidak dapat "mengubati" penyakit kita.

Ketika usia 16 tahun (tingkatan 4) aku pernah dimasukkan ke hospital Taiping (wad 5 katil) untuk menjalani rawatan detoksifikasi selama 7 hari.
Walaupun ketahanan fizikal dan mental memainkan peranan, namun ketagihan tidak perlu jangka masa yang lama, reaksi inilah yang membuatkan aku menjadi penagih, bukan berapa banyak yang kita gunakan.
Ramai di antara kita tidak mahu fikirkan masalah sehinggalah sampai ke tahap 'rock bottom', begitu juga aku. Malahan  apabila ada yang mengatakan , kita mempunyai masalah, kita masih tetap kata kita betul dan seisi dunia adalah salah. Dengan kepercayaan inilah kita mewajarkan tingkah laku yang merosakkan diri sendiri. Kita membina apa jua pandangan hanya untuk mengiakan tindakan kita tanpa bimbang demi untuk diri sendiri atau pun orang lain. Sampailah aku mula merasai dadah telah membunuh diriku lama sebelum aku mengakuinya. Kini aku sedar bahawa amat sukar untuk berhenti, aku tidak boleh. Aku mulai sedar, aku telah hilang kawalan dan tidak mampu untuk berhenti......

Banyak perkara akan timbul takala kita meneruskan penagihan kita. Kita membina pemikiran yang sama pada setiap penagih. Kita lupa perasaan kita sebelum menjadi penagih, kita lupa erti persahabatan. Kita diserap dengan tabiat dan akhlak yang buruk. Kita lupa pada agama,pekerjaan, lupa untuk bermain serta lupa untuk menunjukkan penghargaan pada orang lain. Yang paling penting ialah kita lupa apa itu PERASAAN…..  

Selepas tamat SPM aku semakin teruk. Aku umpama berada dialam lain. Aku  menjalani kehidupan dalam dua dimensi. Ia bagaikan dua watak dalam tubuh yang sama. seperti kisah 'Dr Jekyll and Mr. Hyde'. Aku cuba selaraskan kehidupan ini sebelum jangka waktu berikutnya. Ada kala aku boleh melakukannya dengan baik, kemudian, ia semakin mustahil. Akhirnya, hanya tinggal 'Mr Hyde' sahaja……

Setiap daripada kita boleh menyatakan beberapa perkara yang pernah kita lakukan untuk berhenti menagih. Jangan jadikan  alasan untuk tidak mencuba lagi. Sesetengah daripada kita merasa keseorangan kerana perbezaan diantara kita, dan ini membuatkan kita menjadi terlalu sukar untuk melepaskan hubungan lama dan tabiat lama.Kita semua mempunyai tahap toleransi yang berbeza pada ketagihan. Ada yang mencapai keperingkat ‘hard core’. Ada juga yang cepat ‘tersedar’ apabila ia menjejaskan kehidupan sehariannya.  

Di awal awal peringkat penagihan aku, ketika usia 13tahun hingga 15 tahun, aku banyak menggunakan dadah hanya untuk bersosial sahaja atau sekurang-kurangnya terkawal. Sehinggalah saat tidak terkawal. Ianya bermula apabila penggunaannya menjadi semakin kerap. Bermulalah episode baru dalam hidup aku. Aku cuba untuk kurangkan, gantikan, atau berhenti, tetapi malangnya dari seorang yang boleh mengawal kepada seorang yang muflis rohani, mental dan emosinya.

Kadar penurunan ini berbeza beza diantara penagih penagih. Sama ada ia memakan tahun ataupun hari, tapi yang nyata ia berakhir dengan kekejaman. Kita yang tidak mati disebabkan penyakit sudah pasti akan ke penjara, institusi mental atau kerosakan akhlak yang teruk selagi kita membawa penyakit ini.

Dadah memberikan aku suatu perasaan yang berkeyakinan dalam mengendalikan apa jua keadaan yang mendatang. Malahan aku sedar, bahawa dadah juga bertanggungjawab menyebabkan aku dalam kesusahan yang paling perit. Aku tahu ada yang menghabiskan sisa hidup dalam penjara disebabkan  jenayah yang berkaitan dengan dadah.

Kita perlu mencapai peringkat paling bawah sekali sebelum kita bersedia untuk berhenti. Kita lebih bermotivasi untuk mendapatkan bantuan ketika diperingkat ini. Ia menjadi lebih mudah apabila kita merasai kemusnahan, bencana serta akibatnya disebabkan oleh dadah itu sendiri keatas kita. Ia menjadi amat sukar untuk menafikan semua masalah ini kerana ia berlaku didepan mata kita sendiri.Sesetengah daripada kita mula melihat kesan kesan ketagihan pada mereka yang rapat dengan kita. Secara emosinya, kita terlalu bergantung kepadanya. Kita menjadi marah, kecewa dan terkilan apabila mereka 'menghilang'. Kita menyesali masa lampau kita,  takut akan masa depan kita  dan tidak teruja lansung akan masa kini. Selepas bertahun-tahun mencari, kebahagiaan kita semakin pudar..... 

Aku telah diperhambakan, menjadi tawanan pada cara pemikiran aku sendiri, dihina oleh rasa bersalah sendiri. Aku mulai ‘fedup’ untuk berhenti. Percubaan aku untuk kekal bersih sentiasa gagal, malahan menyebabkan aku menjadi tidak keruan sengsara.......
Pemikiran ini datang apabila aku meningkat dewasa (ketika usia 20an). Sebagai penagih, aku mempunyai penyakit yang kronik, progresif serta boleh membawa maut dan sukar untuk diubati. Walau bagaimanapun, ia masih boleh dirawat. Aku  merasakan bahawa setiap individu harus menjawab soalan ini, "Adakah kami penagih?" Bagaimana aku serta 'mereka' mendapat penyakit ini adalah tidak penting. Apa yang perlu aku risaukan adalah pemulihanku..........
Aku cuba merawat ketagihan ini dengan tidak menggunakannya. Ramai di antara kita mencari jawapan tetapi gagal sehinggalah  kita menemui insan insan senasib kita. Setelah kita mengenali sesama kita,  pasti bantuan menjadi mudah. 
Aku dapat melihat sedikit diri sendiri dalam setiap penagih dan begitu juga mereka. Kesedaran ini boleh membantu aku. Harapan kembali cerah apabila aku bertemu dengan penagih penagih ‘bersih’  yang sanggup untuk berkongsi dengan aku.......

Penafian pada ketagihan akan membuatkan kita 'sakit', dan pengakuan jujur membolehkan kita untuk berhenti menagih! Mereka inilah yang akan memberitahu kita bagaimana hidup tanpa dadah. Jika mereka boleh melakukannya, kita juga boleh.

Pertama kali aku disumbat kelokap (1985) sek 117 disyaki mencuri motor. Ketika itu dunia ku rasa bagai nak pecah. Nasib aku cukup baik disebabkan OCS balai adalah kenalan arwah bapa. Tiada kes......
Tetapi aku mulai terfikir adakah alternatif kepada pemulihan ialah penjara, institusi, kelalaian dan kematian? Malangnya, penyakitku ini membuatkan aku menafikan ketagihan yang sedang aku alami ini. Aku lupa semuanya......, jadi
Jika anda seorang penagih, anda juga mampu mencari kaedah baru untuk hidup yang sebelum ini agak mustahil. Kita patut bersyukur dalam perjalanan pemulihan ini, kehidupan jadi berguna. 

Kita sedar bahawa kita tidak akan dapat disembuhkan dan sentiasa membawa penyakit ini dalam kehidupan kita. Kita sentiasa  membawa penyakit yang perlu kita pulihkan. Setiap hari kita diberikan peluang. Kita yakin bahawa hanya ada satu cara untuk kita hidup, dan ia adalah melalui cara program ini. 

(bab 2 jurnal perjalanan ini) - bersambung...



No comments: