BAB 3
Mengapa Aku berada disini?
Mengapa Aku berada disini?
Sebelum mengikuti
program ini, kita tiada daya menguruskan kehidupan sendiri. Kita tidak mampu menikmati kehidupan seperti orang lain. Kita perlukan sesuatu yang
berbeza, kita rasa kita telah menemuinya dalam alam penagihan dadah. Kita letakkan ‘dadah’ melebihi dari segalanya. Melebihi dari kebajikan keluarga, isteri, suami, dan anak-anak kita. Kita mendatangkan
kemudaratan yang besar dalam masyarakat, tanpa sedar kita
menganiayai diri kita sendiri. Dalam menghadapi ketidakupayaan untuk menerima
tanggungjawab secara peribadi, kita sebenarnya mewujudkan masalah dalam diri
sendiri. Kita seolah-olah tidak mampu menghadapi kehidupan dari segenap aspek. Kebanyakan dari kita
sedar bahawa penagihan secara perlahan-lahan membunuh kita, tetapi
penagihan juga umpama musuh yang sangat licik dalam hidup kita sehingga tiada
upaya untuk melakukan apa-apa. Kebanyakan dari kita berakhir di penjara, atau
meminta bantuan melalui perubatan, agama dan psikiatri. Tiada satu pun daripada
kaedah tersebut bersesuaian dengan kita. Penyakit kita akan muncul semula atau menjadi
lebih teruk sehingga dalam keadaan terdesak, kita meminta bantuan daripada satu
sama lain melalui kaedah program ini.
Selepas mengikuti
program ini, barulah kita sedar kita sebenarnya sedang sakit. Kita mengalami
penyakit yang tiada penawar setakat hari ini. Bagaimanapun, ia boleh ‘dihumban’ dalam suatu noktah, maka pemulihan
bukan lagi sesuatu yang mustahil.....
Selepas bebas dari penjara 2007,Aku mulai mencari
pemulihan. Aku jadualkan segala aktiviti harian ku. Waktu solat, kemas rumah,
bersihkan halaman, waktu menonton TV dan sebagainya. Aku cuba penuhkan aktiviti
harian ku. Aku ingin mengubah cara hidupku. Inilah langkah pertama ku
dengan membuat satu *PENGHIJRAHAN. Aku sedar selama ini aku menggunakan dadah
untuk ‘menampung’ perasaanku, dan melakukan apa sahaja yang perlu untuk
mendapatkan dadah. Celik mata saja terus ‘gian’,sakit, tidak dapat bekerja atau
pergi bekerja dengan sempurna.
Aku akan mencuri untuk dapatkan dadah. Aku sakiti orang-orang
yang aku sayangi. Aku lakukan semua perkara ini dan masih percayakan “Aku okey
lagi….”. Hakikatnya aku tidak dapat mencari jalan keluar. Aku kelemasan menghadapi
tuntutan kehidupan ini….., adakah kita serupa?
*Konsep ini akan dihuraikan dalam bab yang lain.
Aku terkenang ketika permulaan mengambil dadah. Menyeronokkan
walaupun adakalanya aku akan termuntah ketika hisap. Perasaan ‘syok’ dan pening
bercampur baur. Aku rasakan aku sudah cukup dewasa dan bagaikan watak hero
dalam filem filem Holywood. Lama kelamaan ia menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi
keperluan. Tanpa aku sedari penagihan aku ini berkembang menjadi penyakit. Aku
terus dijalan kemusnahan, tanpa menyedari kemana aku dibawa pergi. Aku menjadi
seorang penagih tanpa aku sedari. Melalui dadah, aku cuba mengelak dari
realiti, kesakitan dan kesengsaraan. Apabila kesannya hilang, aku sedar bahawa ia
hanya bersifat sementara, malahan menjadi semakin teruk. Apa yang boleh aku
lakukan ialah menagih, menagih dan terus menagih…..
Kita cuba mencari bantuan and hampa. Kerap kali ‘mereka’ tidak
memahami dilema kita. Seolah olah hanya dengan bantuan ubat ubatan sudah
memandai. Kerap kali ahli ahli keluarga akan keletihan membantu kita dengan
harapan semoga kita akan pulih dan semakin sembuh. Kita cuba ‘menggantikan’ jenis
dadah yang berbeza tetapi jawapannya tetap sama. Kami cuba hadkan penggunaan
hanya untuk bersosial saja namun berakhir tanpa kejayaan. Tidak ada istilah ‘guna
untuk bersosial’ dalam hal penagihan ini. Sesetengah daripada kita mencari
jawapan melalui agama atau kumpulan kumpulan agama serta ada yang berpindah.
Kita menyalahkan persekitaran dan keadaan hidup sebagai punca masalah kita.
Usaha untuk berpindah kononnya dapat mengubati penyakit kita sebenarnya membuka
peluang untuk kita mengambil kesempatan daripada kenalan baru nanti. Yang lebih
nekad ada yang cuba dapatkan teman baru atau perubahan kepada rakan-rakan baru.
Sikap ini adakalanya membawa kita lebih jauh kedalam ketagihan kita. Ada yang cuba
dengan perkahwinan, perceraian atau pembelotan. Tidak kira apa yang kita cuba,
kita tidak dapat lari daripada penyakit kita.
Aku telah sampai kesuatu titik kehidupan di mana
aku kehilangan punca. Aku tiada nilai kepada keluarga, rakan-rakan atau di
tempat kerja. Walaupun pernah bekerja sebagai penjawat awam dalam kementerian
kesihatan (5 tahun) akhirnya aku menganggur.
Selepas dari itu banyak tempat aku bekerja tetapi tidak lama. Sebarang
bentuk kejayaan ataupun pekerjaan tidak biasa buat aku dan ini amat menakutkan.
Aku tenggelam punca. Perasaan bencikan diri sendiri makin meningkat, jumlah dos
aku semakin bertambah, perasaan makin celaru. Penat dengan kesakitan dan
kesusahan ini! Aku cuba lari dari semua ini. Aku ke Kelantan, ke KL dan kemana
mana saja kononnya untuk mulakan hidup baru. Tidak kira sejauh mana aku berlari,
aku sentiasa dihantui oleh perasaan takut. Aku rasakan bagai hilang harapan dan
tidak berguna. Kegagalan menjadi cara hidup aku dan tiada lagi harga diri. Perasaan
yang mungkin paling menyakitkan buat aku bilamana keadaan menjadi sangat terdesak.
Pengasingan dan penafian inilah yang membuatkan
kehidupan kita semakin menurun….. Hilang sudah segala harapan.
Tiada daya upaya, kekosongan dan dihantui perasaan
takut menjadi gaya hidupku. Aku benar benar gagal! Perubahan personaliti adalah
apa yang aku perlukan. Akhlak serta tabiat burukku perlu diubah. Berbohong,
menipu atau mencuri, meletakkan diri aku dipandang hina oleh mataku sendiri. Cukuplah
kemusnahan yang aku lakukan pada diriku sendiri. Aku telah mengalaminya. Apabila
sampai ketahap ini, aku merasai tibanya masa untuk meminta pertolongan……..
Aku mencari jawapan apabila aku berjaya ‘keluar’. Aku
hadir keperjumpaan pertamaku ini dalam keadaan binggung dan tertanya tanya apa
perlu aku buat. Selepas duduk dalam perjumpaan, atau beberapa pertemuan, aku
mulai merasakan ‘mereka’ amat prihatin dan bersedia untuk membantu. Walaupun aku
berfikiran amat sukar untuk pulih namun ‘mereka’ memberi aku harapan dan
mendesak sesungguhnya aku boleh PULIH. Aku mendapati bahawa tidak kira apa yang aku fikirkan
pada masa lalu atau tindakan yang lepas, yang lain pun turut merasai dan
melakukan perkara yang sama. Dikelilingi oleh penagih lain, aku sedar bahawa
aku tidak bersendirian lagi. Pemulihan berlaku dalam perjumpaan ini….
Aku mempertaruhkan kehidupanku. Aku mendapati
dengan meletakkan pemulihan kendiri sebagai tujuan utama, program ini pasti
berhasil. Aku berhadapan dengan kewujudan tiga prinsip yang membimbangkan:
- Kita tiada upaya mengatasi penagihan kita dan kehidupan kita tidak terurus;
- Kita tidak bertanggungjawab untuk penyakit kita, tetapi kita bertanggungjawab dalam pemulihan kita;
- Kita tidak boleh lagi menyalahkan orang, tempat dan benda untuk ketagihan kita. Kita mesti berhadapan dengan masalah dan perasaan kita sendiri.
Senjata utama pemulihan adalah dari penagih yang pulih. Kita hanya menumpukan perhatian kepada pemulihan dan
perasaan kita sahaja bukan masa lampau. Kawan ‘lama’, tempat dan idea idea lalu
sering menjadi ancaman kepada pemulihan kita. Kita perlu mengubah rakan
sepermainan, tempat permainan dan barangan mainan kita.
Apabila kita mendapati agak sukar menguruskan hidup tanpa dadah, sebahagian
daripada kita akan mula mengalami kemurungan, kebimbangan, cepat marah dan
kebencian. Terasa sedikit kekecewaan, halangan dan kesepian sering membuatkan kita
cepat putus asa. Kita sedar kita mengalami sejenis penyakit, bukan soal moral. Kita
dalam dilema. Kita tenat, tidaklah
seburuk yang disangka. Penyakit kita hanya boleh dihalang melalui kepantangan.
Selepas aku 'absent' dari tugasku di Hospital Besar Pulau Pinang, aku balik ke kampung halaman (1993) Aku menjadi tidak keruan. Aku tidak dapat menerima kenyataan, dulunya aku seorang pegawai kerajaan tetapi kini semuanya gelap gelita. Aku mengalami pelbagai perasaan. Perasaan ini telah lama meresap dalam sanubariku.Keadaan aku semakin teruk.Perasaan ini berligar ligar dalam benakku hampir 14 tahun lamanya! Adakala aku berasa
gembira atau tertekan. Akhirnya mulai berubah! Perasaan negatif aku telah bertukar menjadi positif
apabila aku mulai mengambil berat tentang rakan pemulihan aku.
Jawapan telah tersedia, masalah akan selesai. Inilah
ganjaran besar apabila aku berperasaan sebagai manusia kembali. Satu perubahan
besar buat diri aku!
Itulah cara keberkesanannya program ini. Program ini meyakinkan kita bahawa kita perlu mengubah diri kita sendiri, dan bukannya cuba mengubah orang lain dan keadaan di sekeliling kita. Kita menemui peluang baru. Kita merasai diri kita dihargai. Kita belajar menghormati diri. Ini adalah suatu bentuk pembelajaran. Melalui program ini, kita sedar adanya Dia yang Maha Pemurah lagi Maha Pengampun. Penghijrahan membawa kepada pemulihan. Kita menjadi lebih yakin. Kita menuju kebebasan……
1 comment:
sebarang pandangan dan pendapat amat dihargai.
Post a Comment