Berumur 48tahun dan boleh dikategorikan sebagai Penagih Tegar (Hardcore) dengan lebih kurang 30tahun melalui segala pahit getir penghidupan sebagai Makhluk Penagih Heroin.
Rasanya tidak perlulah aku mengungkap akan kenangan sejarah hitam yang tak membanggakan itu. Aku percaya saudara sudah jemu lagi muak mendengarkannya > terutamanya pegawai-pegawai dari AADK sendiri, selalunya cerita-cerita dari seorang penagih semacam aku ini sudah berulangkali dirakamkan dan sudah tentu jalan ceritanya lebih kurang sama saja semuanya...
Apa yang aku inginkan adalah untuk menceritakan akan nilai-nilai positif yang aku terima selama aku memasukkan diri ku ke Rumah Komuniti ShiQal. Selain daripada mencari ubat bagi menyembuhkan penyakit kronik yang dihidapi, aku juga menimba ilmu bagi mencari identiti diriku yang sebenarnya. Bagi meneruskan sisa-sisa hidup ini supaya ianya lebih bermakna.
Rumah Komuniti ShiQal banyak bezanya dari institusi-institusi maupun Pusat-pusat Pemulihan yang sedia ada, terutamanya dari segi Konsep dan Modul yang dijalankan disini. Ia memberi peluang terakhir pada mana-mana penagih yang mempunyai niat untuk berhenti dan keluar dari sifat buruk itu. Sesuai dengan erti Shifaul Qalbi (Penawar Jiwa didalam Bahasa Melayu), rawatan dari segi kerohanian diterapkan agar JIWA-JIWA kami yang sakit dapat dipulihkan sedikit demi sedikit.
Disini juga setelah pulih, kami diberi bimbingan dan tunjuk ajar bagaimana caranya untuk kembali kedalam masyarakat serta memberi dorongan untuk berdikari setelah keluar dari rumah ini nanti. Dengan bantuan serta galakkan dari Ahli-ahli dan dari Penghuni Rumah Komuniti itu sendiri, niat yang lahir dari keinsafan itu telah membuahkan hasil yang positif... buktinya? Lihatlah aku sendiri!!!
Aku yakin dengan adanya sokongan dan bimbingan dari pihak AADK sendiri, "Rumah Komuniti" ini akan terus memberi peluang dan harapan yang lebih luas lagi kepada Penagih-penagih yang masih ramai lagi diluar sana untuk mengubah cara hidup mereka dan akhirnya akan `Melahirkan Semula` modal-modal insan yang dapat `Memberi Balik` kepada masyarakat dan negara...
No comments:
Post a Comment